Tuesday, September 30, 2025


Setiap kali saya mengikuti episod-episod cerita di Youtube tentang penganut kristian beralih kepada Islam, hanya kerana menyedari bahawa Isa adalah bukan tuhan tetapi seorang Nabi Allah sahaja, kadang kala saya merasa ada persamaan dengan apa yang baru sahaja saya sedari bahawa Islam hari ini bukanlah yang hakiki. 

Setelah saya memahami maksud ayat 30 al-Baqarah yang menyebut 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi', saya sedikit tersentak, lalu tersedar bahawa selama ini saya seorang Islam tetapi tidak berpegang kepada konsep kekhalifahan. Lantas terfikir tentang keislaman saya. 

Bagaimana kedudukan keislaman saya. Selama ini saya sebagai seorang Islam, sembahyang, berpuasa, berzakat fitrah, menunaikan haji tetapi amalan saya hanya sekadar mengikut amalan ibu bapa, dan sekitaran komuniti saya. 

Setelah menemui konsep kekhalifahan, bermula dengan ayat 30 al-Baqarah itu, terasa benar bahawa Islam yang saya pegang selama ini kurang tepat, bukan Islam yang Allah kehendaki, bukan Islam yang Rasulullah saw ajarkan.

Islam yang saya ikuti selama ini adalah Islam yang fokus kepada ritual. Saya sembahyang, saya puasa, saya menunaikan haji tetapi ibadah-ibadah ini sebagai kesudahan - selepas sembahyang tidak ada apa-apa lagi yang hendak difikir-fikirkan, segala-galanya sudah selesai.

Setiap kali saya sembahyang Jumaat, khutbah melontarkan seruan 'Marilah kita pertingkatkan ketakwaan'. Inilah yang saya ikuti. Namun apabila saya menyemak ayat 2--5 al-Baqarah, ciri-ciri bertakwa itu tujuannya hanya untuk menjaga diri dari kemurkaan Allah, menjauhi dari dosa. 

Namun apabila saya melihat ayat-ayat yang menyebut khalifah, bukan itu yang Allah kehendaki. Misalnya ayat 165 al-Anam Allah menghendaki kita saling bantu membantu sesama manusia. Mengikut ayat 69 al-Araf, saling bantu membantu itu bermula dengan menggunakan kelebihan dan kekuatan tubuh kita, dan ayat 74 al-Araf pula menyeru kita jangan merosakkan alam ini. Semua ini tidak pernah disebut dalam keislaman saya. Lalu saya tersedar betapa banyaknya tanggungjawab yang telah saya tinggalkan selama ini.

Yang paling menusuk hati saya ialah ayat 62 an-Naml, apabila Allah menyebut bahawa manusia adalah wakil Allah yang mendiami dan menguasai/mengurus alam ini.

Apabila saya merenung dan merenung kesemua ini, saya terasa betapa saya juga seperti mana para penganut kristian bahawa saya juga seperti mereka. Bezanya, mereka itu terpaksa menukar agama, tetapi buat diri saya, sebagai Islam, akan terus sebagai Islam namun harus berhijrah kepada Islam yang hakiki, Islam yang berasaskan kekhalifahan. 

Atas kesedaran inilah saya tuliskan sebuah buku yang berjudul SEMAK DAHULU KEISLAMAN KITA. Tujuan saya iaah mengajak kalian melakukan suatu tajdid (pembaharuan) Islam. Tetapi bukan bermaksud menurkar Islam, cuma sekadar mengembalikan keislaman kita kepada al-Quran, mengikuti ayat-ayat seperti beberapa ayat yang saya sebut tadi.

Bab-bab yang saya muatkan dalam blog ini adalah sebagai gambaran tentang kandungan buku saya. Di bahagian-bahagian penghujung buku saya adalah bab-bab yang sangat penting untuk dijadikan asas pembetulan keislaman kita, termasuk tiga bab tentang keislaman baginda Rasulullah saw.

Justeru sementara nyawa masid dikandung badan, segeralah menyemak keislaman kita, dan perbetulkan arahnya.