Bab 4

 Jalan Keluar: Dari Warisan ke Pilihan

Setelah kita menyedari tanda-tanda bahawa Islam kita mungkin sekadar warisan, timbul persoalan penting: Bagaimana caranya beralih kepada Islam yang benar-benar kita pilih dengan kesedaran? 

Jawapannya bukan dengan membuang warisan itu, tetapi menggunakannya sebagai titik tolak menyuburkan ia dengan kefahaman, kesedaran, dan tindakan yang sejalan dengan Islam Rasulullah saw.

1. Mulakan dengan Soalan Jujur

Hijrah sebenar bermula dengan keberanian bertanya:

· Mengapa aku dicipta? Apakah tujuan Allah mencipta aku dan meletakkan di bumi ini?

· Apakah tujuan hidupku di dunia?

· Apakah bekal yang aku bawa ke akhirat?

Soalan-soalan ini membuka ruang untuk kita menilai diri. Ia pernah ditanyakanoleh para nabi kepada umat mereka, dan juga oleh anak kecil yang tulus hati, yang sering mengingat-kan kita tentang kebenaran yang hilang.

 

2. Fahami Islam Sebagai Sistem Hidup

Islam bukan sekadar solat dan puasa. Ia juga tentang:

· Bagaimana kita mencari rezeki,

· Bagaimana kita berlaku adil dalam pergaulan,

· Bagaimana kita menjaga alam sekitar,

· Bagaimana kita melindungi yang lemah.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 208:

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya.

Ayat ini jelas: Islam tidak boleh dipilih sebahagian, ditinggal sebahagian.

 

3. Hidupkan Kesedaran Khalifah

Kita bukan sekadar hamba yang beribadah, tetapi juga khalifah yang mengurus bumi (an-Naml, 62).

· Menyantuni asnaf,

· Menolong jiran,

· Menjaga hak orang lain,

· Memastikan keadilan ditegakkan.

Hadis Rasulullah saw:

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain. (Riwayat Ahmad)

Inilah ukuran sebenar keislaman yang hidup, bukan hanya ibadah yang terkurung di mihrab. 

(Semak Dahulu Keislaman Kita, 18)

No comments:

Post a Comment