Mengapa Khalifah?
Tujuan Penciptaan Manusia
Allah swt berfirman
Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. (al-Baqarah, 30)
Ayat ini menyatakan tujuan Allah mencipta manusia dan meletakkannya di bumi untuk dijadikan khalifah di bumi. Inilah tujuan penciptaan manusia.
Alasan Menjadikan Khalifah?
Ayat 7 al-Fatihah: Tiga golongan manusia
Dalam solat, apabila kita membaca ayat 6 surah al-Fatihah Tunjukkan kami jalan yang lurus, Allah menjawab dengan ayat 7 menyebut, Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) ornag-orang yang sesat. menyatakan tiga golongan manusia, iaitu mereka yang dijanjikan nikmat (syurga), mereka yang dimurkai, dan mereka yang sesat.
Secara tidak langsung ayat 7 al-Fatihah menyatakan tentang tiga golongan manusia, iaitu golongan orang yang dikurniakan nikmat, golongan orang-orang yang dimurkai, dan golongan orang yang sesat.
Golongan yang dijanjikan Nikmat
Golongan yang dijanjikan nikmat disebut oleh ayat 69 surah an-Nisa’, mereka ialah para nabi, orang-orang benar (siddiqin), para syuhada, dan orang-orang soleh. Mereka terkenal sebagai orang-orang yang bukan sekadar beriman, tetapi tegas berpegang kepada pendirian hidupnya, mereka berjalan atas jalan kebenaran dengan ilmu, dengan amal, dan dengan istiqamah.
Golongan yang Dimurkai
Mereka ialah orang-orang yang diberi petunjuk, diutus kepadanya rasul-rasul, telah diturunkan kitab-kitab wahyu, tetapi masih menuruti nafsunya. Telah ditegur dan diperingat berkali-kali namun tidak mempedulikannya: mereka mencemuh Rasul-rasul, mengenapikan petunjuk Allah, petunjuk syaitan yang diikutinya.
Golongan ini ada ilmu, mereka tahu kebenaran, tetapi mereka menolaknya, membelakangkannya, malah memanipulasinya.
Mereka tahu hukum-hakam, jalan yang benar, tetapi sengaja berpaling. Itulah sebabnya mereka dimurkai. Mereka seakan-akan memerangi kebenaran yang diketahuinya.
Golongan yang Sesat
Golongan yang sesat ialah orang-orang yang membuat jalan-nya sendiri yang di luar garisan jalan Allah. Jalannya tidak mengikuti jalan kebenaran, tidak mengikuti maksud kebenaran yang sebenarnya. Mereka mengakui adanya Allah, namun mereka lebih cenderung mengikuti jalannya yang sesat. Sejarah mencatatkan, di Eropah pernah timbul satu gerakan bernama Deisme, di mana melalui penyelidikan akal mereka, mereka mengatakan Allah memang ada, namun mereka tidak mahu menerima idea kerasulan, atau wahyu, atau hari akhirat. Lalu mereka mengatakan, dengan percaya kepada Allah sahaja sudah mencukupi, tidak memerlukan agama.
Ayat 2-29 al-Baqarah: Menjadikan Khalifah
Tiga golongan itu tadi sekali lagi disebut oleh ayat 2-10 al-Baqarah.
Ayat 2 al-Baqarah menyebut tentang orang bertakwa. Ayat ini menyebut Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. Ciri-ciri orang bertakwa disebut oleh ayat 3-5. Kita lihat kemudian.
Ayat 6 al-Baqarah menyebut tentang orang kafir. Ayat itu menyebut Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. Lalu Allah menyatakan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar (ayat 7).
Ayat 8-10 al-Baqarah adalah tentang golongan munafik. Ayat 10 menyebut Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengaki). Ciri-cirinya disebut oleh ayat 8-10.
Jika kita lihat seterusnya, bermula dengan ayat 11 al-Baqarah adalah menyatakan lebih lanjut tentang golongan munafik. Antaranya, disebut mereka adalah yang membuat bencana dan kerosakan di muka bumi (ayat 12), apabila diseru supaya beriman mereka menolak (ayat 13).
Lalu Allah menyeru Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang terdahulu supaya kamu kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa (al-Baqarah, 21). Seruan ini sejajar dengan ayat 2 al-Baqarah yang menyebut petunjuk kepada mereka yang (hendak) bertakwa.
Jadi ayat 21 al-Baqarah ini bermaksud menyeru manusia agar tidak tersilap memilih jalan: pilihlah jalan mereka yang bertakwa, buka jalan mereka yang kafir dan munafik itu.
Namun setibanya di ayat 30 al-Baqarah Allah menyatakan Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mengapa disebut khalifah? Mengapa tidak orang bertakwa.
Misi dan Visi Hidup
Ciri-ciri orang bertakwa, yang disebut di awal-awal musyaf (al-Quran) iaitu ayat 2-5 ialah:
i. Orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (ayat 3)
ii. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya) (ayat 4).
Jika kita amat-amati ciri-ciri orang bertakwa tersebut di atas ini menunjukkan ianya lebih menekankan kepada keperibadian dirinya, seperti menjaga keselamatan dirinya dari murka Allah, menjaga kepentingan dirinya dari dosa, kecuali aspek membelanja-kan sebahagian dari rezeki itu.
Ertinya, ketakwaan sahaja tidak menjamin manusia menjadi sebaik-baik manusia kerana misi dan visinya tidak menyeluruh mencakupi aspek-aspek kehidupan manusia dan alam ini. Membelanjakan sebahagian dari rezeki itu hanya satu daripadanya, ertinya ada lagi tanggungjawab lain yang tidak termasuk ke dalam misi dan visinya.
Berbanding dengan golongan khalifah itu: mereka ini bukan sekadar bertakwa, tetapi lebih dari itu, lebih baik dari orang bertakwa. Mereka inilah yang dijanjikan nikmat (syurga) yang disebut oleh ayat 7 al-Fatihah.
Ayat-ayat yang menyebut khalifah menunjukkan tugas dan peranan khalifah adalah berkait dengan menjaga orang lain, menjaga alam, mengurus bumi dan sebagainya. Ertinya misi dan visinya menyeluruh, tentang bertakwa, menjaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia lain, malah menjaga alam ini juga. Hal ini dapat dilihat dalam ayat-ayat yang menyebut khalifah atau yang membawa maksud khalifah.
No comments:
Post a Comment