Memahami Akar Keislaman Kita
Hampir semua Muslim hari ini kerana lahir sebagai Muslim. Kita tidak melalui jalan berliku seperti para mualaf yang perlu memilih Islam setelah menimbang antara pelbagai agama. Kita tidak perlu mempertaruhkan hubungan keluarga, kerjaya, atau keselamatan untuk mengucap dua kalimah syahadah berbanding mereka.
Namun, di situlah letaknya cabaran kita. Apabila sesuatu datang dalam bentuk warisan, ia mudah kita anggap biasa. Ia tidak menuntut pengorbanan besar. Maka, ada risiko kita hanya memakai Islam tanpa benar-benar memilikinya.
1. Islam Warisan: Nikmat dan Ujian
Warisan Islam adalah nikmat, kerana ia menjadikan kita bermula di landasan yang betul. Kita lahir dalam suasana azan, doa, dan bacaan al-Qur’an. Namun ia juga ujian, kerana mudah untuk kita terlena, merasa cukup hanya dengan aku Muslim kerana lahir dari keluarga Muslim.
Allah tidak menilai kita kerana asal keturunan, tetapi kerana kesedaran dan amalan. Firman-Nya:
Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa. (al-Hujurat, 13)
Ayat ini menutup pintu kelebihan atas dasar warisan. Yang menentukan hanyalah takwa, iaitu kesedaran untuk hidup dengan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah.
2. Islam Pilihan: Dari Warisan kepada Kesedaran
Maka, setiap Muslim mesti memilih Islamnya, walaupun dia lahir sebagai Muslim. Maksudnya, sampai satu ketika dalam hidup, dia mesti bertanya:
· Mengapa aku menyembah Allah? (al-Fatihah, 5).
· Apa tujuan hidup aku ?
· Bagaimana aku mahu Islam ini terzahir dalam seluruh kehidupanku?
Saat itulah Islam tidak lagi sekadar warisan, tetapi menjadi pilihan peribadi. Dan pilihan ini lebih kukuh, kerana lahir daripada kesedaran, bukan paksaan.
Nabi Ibrahim as menjadi contoh terbaik. Walaupun baginda lahir dalam masyarakat penyembah berhala, baginda mencari kebenaran dengan fikir dan hati yang jernih, sehingga memilih Islam sebagai jalan hidup. Begitu juga para sahabat Nabi saw, yang meninggalkan tradisi nenek moyang demi memilih Islam.
No comments:
Post a Comment